Thursday, July 20, 2017

Kematian yang dicemburui

Hari tu 1 Ramadhan. Teruja pulang ke kampung, nak iftar dengan mak dan ayah. Usai solat Asar, terus siap-siap tunggu ayah pulang dari masjid, nak ke bazar Ramadhan. Ayah pulang membawa berita. Berita yang amat hiba.

Pak Teh terlibat dengan kemalangan jalan raya, motorsikalnya terbabas ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Kejadian berlaku dalam pukul 3.30pm. Impak jatuh semasa kemalangan sangat kuat, Pak Teh cedera parah hingga meragut nyawanya. Innalillahi wainna ilaihi rajiun.

Aku seakan-akan tidak percaya dengan berita itu. Berkali-kali tanya ayah, betulkah? Macam mana pemberi maklumat tu tahu? Masa tu memang mengharap sangat, yang itu hanyalah salah faham, dan mangsa kemalangan itu adalah orang lain dengan nama yang sama.

Terkejut, sukar untuk menerima berita itu. Terus temankan ayah masuk ke bilik, sampaikan berita pada mak pula. Mak juga terkejut sangat. Sepupunya dah tiada. Secara tiba-tiba. Tanpa diduga!

Kami teruskan juga hasrat ke bazar Ramadhan. Sungguh terasa kehilangannya. Saat kami masih bertatih di tempat baru itu, Pak Tehlah yang membantu kami serba-serbi. Pak Teh yang mula-mula nampak ayah di masjid dulu, dan arwah tersangatlah mengalu-alukan kedatangan kami di situ. Kenduri kesyukuran, Pak Teh yang kelola. Kenduri tunang, Pak Teh juga jadi orang kuat. Kenduri kahwin, Pak Teh pun semangat pakai baju batik ikut warna tema hijau. Aidilfitri, Pak Teh bawa segerombolan keluarganya datang beraya ke rumah. Jika mak ke masjid, Pak Teh nampak, pasti ditegurnya, "Kak Cik".

Pak Teh dah pergi selama-lamanya. Hayat Pak Teh sampai di situ saja. Tak sempat pun nak buka puasa hari pertama. Hanya sempat solat terawih pertama malam sebelum tu, dan menjadi orang yang bacakan selawat antara rakaat.

Balik dari bazar, ayah terus ke rumah Pak Teh. Jenazah masih di hospital lagi, menunggu untuk dimandikan dan dikapankan terus sebelum dibawa balik ke rumah. Sayu rasa hati. Saat ramai orang bergembira bersiap untuk berbuka puasa hari pertama, keluarga Pak Teh sedang bersiap-siap untuk menerima jenazah di rumah.

Malam tu aku ke masjid dengan hubby, mak dan ayah pergi kemudian. Terasa suram dan sayu suasana dalam masjid. Majoriti jemaah bercakap tentang kematian Pak Teh. Lepas solat Isyak, mak dan ayah terus ke rumah Pak Teh, tak menunggu terawih. Aku dan hubby habiskan terawih 8 rakaat dan terus berjalan ke rumah arwah, yang terletak 80 meter saja dari masjid.

Jenazah terbaring kaku di ruang tamu. Aku masuk dan menyalami Mak Teh dan memeluknya. Aku pun kelu lidah, tak tahu nak kata apa. Hubby duduk menunggu di luar rumah. Nampak kelibat mak, aku masuk ke dalam, ke ruang dapur. Nampak jubah kelabu Pak Teh yang siap diseterika, tersadai di atas meja.

Setiap kali kain penutup muka jenazah dibuka, aku ke hadapan untuk melihat wajah Pak Teh buat kali terakhir. Rasa belum puas berukhuwah dengannya. Dulu tak rapat pun dengannya sebab duduk berjauhan. Sekarang dah dekat, terasa rapatnya hubungan. Arwah juga selalu datang ke rumah hantar sayur-sayuran yang ditanamnya. Daging korban pun arwah datang hantarkan.

Jenazah disolatkan di masjid tepat jam 11 malam. Hubby pun tunggu sampai solat jenazah, ingatkan nak balik selepas jenazah dibawa ke masjid. Ramai sungguh masjid malam tu, terang-benderang disinari cahaya lampu. Ramai yang menyembahyangkan jenazahnya. Semoga ruh Pak Teh tenang di sana dan dicucuri rahmat Allah.

Selepas beberapa hari Pak Teh meninggal, aku masih terasa bagai arwah masih hidup. Terbayang-bayang susuk tubuhnya di masjid, terdengar-dengar suaranya memanggil mak. Hanya selepas 3 minggu barulah rasa boleh terima pemergian Pak Teh.

Ajal maut Allah dah tentukan. Jika tiada kemalangan pun Pak Teh pasti meninggal hari itu juga. Ajal aku entah bila...semoga aku dimatikan dengan iman, dalam keadaan yang baik.

No comments:

Post a Comment