Saturday, February 21, 2015

Pemergian Tok Guru


Ia berlaku begitu pantas. Tiga minggu sebelum itu, kita dikejutkan dengan berita keuzuran beliau. Semua berdoa agar usianya dipanjangkan dan kesihatannya dipulihkan. Masih belum bersedia melepaskannya pergi. Tambahan pula dengan cerita anak saudaranya, seorang ustaz yang dihormati,Ustaz Dusuki Abd Rani berkenaan keajaibannya ketika itu - sedar untuk solat walaupun dalam keadaan koma. Agak lama pula berita mengenainya menyepi, statik.

Tiba-tiba pada malam Jumaat yang penuh barakah itu, kecoh di Whatsapp group tentang keadaan terkini beliau yang amat kritikal. GCS dropped sampai 4/15. Keluarga sudah meminta AOR Discharge untuk membawanya pulang ke rumah. Hanya beberapa ketika beliau tiba di kediamannya, rohnya pergi meninggalkan jasad yang terbujur kaku. Berakhirlah hayat Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pas, bekas menteri besar Kelantan dan ulama' yang tersohor. Allahyarham pergi meninggalkan seorang balu dan sepuluh orang anak pada tanggal 12 Februari 2015, jam 9.40malam. Sama tarikh dengan pemergian Hassan al-Banna, subhanallah!

Saat pertama kali mengenali beliau ketika Allahyarham masih lagi seorang Menteri Besar Kelantan. Seorang yang sangat zuhud dan warak, sehinggakan pemuda dari agama lain juga menghormati  dan menyanjunginya. Seorang Menteri Besar, sebagai pemimpin tertinggi negeri, turun mengajarkan agama kepada rakyatnya, mengimami solat jemaah, dan mendermakan elaunnya untuk kepentingan rakyat. Mana lagi boleh ditemui pemimpin seperti ini. MasyaAllah.

Rakyat dari seluruh pelusuk negara datang menziarahi jenazah beliau. Penuh sesak Pulau Melaka. Ini menunjukkan bahawa beliau seorang yang dihormati, tidak seperti yang diburuk-burukkan oleh media arus perdana sebelum ini. Malah, pengebumian beliau mendapat liputan langsung di Astro Awani dan RTM1.



Saat ini rakyat masih menangisi pemergiannya. Sukar untuk dicari ganti. Semoga kita semua mencontohi beliau dan berusaha untuk menjadi sepertinya. Pengakhiran kehidupannya kita sudah nampak - sangat baik...pengakhiran kehidupan kita bagaimana pula?

No comments:

Post a Comment