Friday, March 25, 2016

Memori Seminggu Berlalu

Pada minggu lepas, pada waktu ini, aku sedang sibuk mengelap pinggan. Saudara mara dari kampung sebelah datang singgah ke rumah membawa dua buah hadiah, mereka siap menghiasnya sendiri di rumahku. Terhenti sebentar proses memasak gulai daging.

Tengah malam, tunggu punya tunggu, lambat lagi YB nak sampai. Paksa diri tidur dulu di ruang tamu. Terlelap sebentar. Dekat pukul 2 pagi, YB mesej, dah sampai jambatan. Terus siap-siap kejut ayah, keluar pergi ambil YB kat stesen bas. Sunyi jalan raya dalam kampung. Cuma ada satu dua kedai tomyam/nasi kandar yang masih terang benderang. YB sudah sedia menunggu di tepi jalan. Jika naik teksi, sampai 60 ringgit dicaj. Dalam perjalanan balik, ada kemalangan. Mungkin mangsa jatuh lereng bukit. Hanya nampak orang ramai, ambulans dan polis.

Sampai rumah, teman YB makan. Kelaparan betul dia. Lima kali driver bas berhenti. Sebab tu lambat sampai. Dekat 4 pagi, baru aku tidur.

Usai sarapan, kerja-kerja menyusun kerusi meja bermula. Fuhh! Penat jugalah. Sakit pinggang. Tenaga seorang wanita bergabung dengan tenaga seorang lelaki dan seorang warga emas. Pukul 11 baru dapat membersihkan diri. Ayah dan YB dah keluar mengambil barang-barang tempahan.

Masuk Zuhur, terus solat. Mak mula bancuh air. Geng dari kampung sebelah dah sampai, terus ajak aku bersiap-siap. Risau betul takut tak sempat. Dekat pukul tiga, berjaya siap! Masa aku baru nak tinjau-tinjau keadaan rumah, nampak Cynthia dan Shida datang. Pandai mereka cari rumah. Aku hanya beri location dan sedikit tips. Baru nak bawa mereka jumpa mak, dah dengar bising-bising, tetamu yang dinanti telah tiba.

Alamak! Berdebar pulak rasa. Buat-buat cool saja. YB memberi tauliah kepada dua rakanku itu untuk jadi cameraman. Setiap butir bicara aku dengar dengan teliti. Dalam masa yang sama, seakan tak percaya, inikah hari itu? Akhirnya tiba upacara kemuncak, alhamdulillah, semua berjalan lancar. Lepas tu aku segan betul nak keluar, siap minta izin makcik-makcikku, boleh keluarkah?

Alhamdulillah, setelah hampir dua minggu berpenat lelah membuat persiapan, segalanya berjalan lancar. Syukur padaMu ya Allah. Lebihan makanan kami sedekahkan pada jemaah masjid. Lebihan kek aku bawa ke tempat kerja pula. Malam tu memang berhempas pulas membasuh pinggan, periuk dan sebagainya. Ayah dan YB dah lekat depan tv tengok bola. Pukul 10.30pm, aku dah gelisah. Badan dah tak boleh berfungsi. Terus baring di lantai bilik, dengan niat nak bangun pukul 11.30pm, nak tengok result bola dan kejut mak makan ubat. Akhirnya pukul 2am baru terjaga. Sempat check baju yang nak dipakai pagi nanti dah digosok.

Pagi tu bangun seperti biasa, sebelum Subuh lagi. Rasa segar, walaupun badan masih ada sisa keletihan. Ada program derma darah pula,mujur habis awal. 12.50pm sudah berada dalam perut van mahu pulang ke hospital. Petang itu, aku stay kat rumah saja, YB yang bawa mak dan ayah pergi pulangkan barang-barang kepada saudara mara.

Lepas Isyak, kami hantar YB ke stesen bas. Sampai hampir pukul 10pm. Kami tunggu sampai bas jalan, siap lambai-lambai, baru balik ke rumah.

Pada hari ini, aku sedang menaip memori indah ini, mak dan ayah sedang menonton pidato antarabangsa.

Alhamdulillah, syukur ya Allah, atas izinMu untuk aku mengecapi nikmat ini.

No comments:

Post a Comment