Monday, April 24, 2017

Ingat Saat Manis

Bukan semua orang melalui jalan kehidupan yang mudah. Dari kecil, membesar...masuk sekolah...sampai universiti...berkahwin, mengandung...melahirkan anak...membesarkan anak bersama-sama suami...happily ever after.

Saat merasa duka cita, ingatlah kembali detik-detik manis sewaktu dilamar dahulu. Lamaran yang amat dinantikan. Kemudian dipermudahkan segala urusan ijab kabul. Saat melihat susuk tubuhnya berdiri di pintu masjid, menanti waktu untuk duduk di hadapan tok kadi. Saat rakan-rakan menggelarnya kembar, kerana warna baju sama dan rupa paras juga seiras. Kebetulan atau suratan?

Ingat kembali minit-minit khutbah nikah dibacakan, walaupun susah benar nak mendengar suara tok kadi yang halus itu. Saat merasa berdebar apabila lafaz nikah diucapkan sebanyak dua kali. Rasa lega usai lafaz itu, bertukarlah status diri hingga akhir hayat, insya Allah.

Manis saat berdepan dengannya, tangannya menyentuh tangan ini, cincin disarung, bersalaman dan tangannya dikucup. Saat pertama kali berdiri begitu hampir untuk bergambar. Saat memanggilnya abang, satu panggilan yang cukup hormat buat seorang suami.

Indahnya saat berbicara melalui telefon, dan menunggu detik hidup bersama, seminggu selepas itu.

Ingatlah yang indah-indah ini...saat hati berduka lara. Kuatkan semangat, bina semula keindahan itu. Hidup bersama bukan hanya untuk setahun dua, tetapi untuk selama-lamanya. Biar sama-sama melangkah ke syurga yang di dalamnya tiada lagi kedukaan.

Insya Allah, ilmu dan amal akan menjaga hubungan ini. Titipkan doa pada setiap hari agar ia sentiasa mekar dan wangi.

Semakin hari semakin menyayangi, lillahi taala.

No comments:

Post a Comment