Friday, June 11, 2010

Syukur

Kadang-kadang manusia lupa untuk bersyukur. Ada juga manusia yang tidak tahu bersyukur. Ada pula manusia yang tidak faham makna syukur.


Syukur adalah suatu perasaan berterima kasih dan menghargai yang ditujukan kepada sesuatu pihak atas kejayaan atau kebaikan yang diperoleh. Bagi kita orang Islam ini, syukur kita hanya kepada Allah SWT kerana hanya Dialah yang Maha Berkuasa dan menentukan segala-galanya.


Ada orang berjaya lulus peperiksaan, sedih pula kerana tidak mendapat kepujian. Ada orang, sudah berjaya memperoleh kepujian, mahu pula menunjuk-nunjuk pada orang lain untuk dipuji. Inilah antara simptom-simptom orang yang tidak tahu bersyukur.Tak bersyukur dengan apa yang ada, sentiasa meminta yang lebih,padahal yang di dalam tangan itu sudah baik belaka.Ada orang yang sentiasa tidak merasa puas dengan pencapaiannya, seakan-akan tidak berpuas hati dengan kurniaan Allah, mahu menentang arus pula. Padahal ramai lagi di luar sana yang tidak memperoleh langsung kebaikan yang dihajatinya.Memanglah kita harus bercita-cita tinggi, tetapi usahlah sehingga mempersoalkan ketentuanNya.


Segala puji bagi Allah, malam Jumaat ini, ayah telah mengadakan kenduri kesyukuran secara kecil-kecilan di surau. Menunya hanya murtabak dan air soya dan tetamunya hanyalah jemaah lelaki yang berkunjung ke surau malam ini. Memang biasanya wanita tidak berjemaah di surau melainkan jika ada ustaz datang berceramah ataupun pada bulan Ramadhan. Ayah dan mak bersyukur atas perkara yang mereka rasakan nikmat. Aku juga bersyukur atas perkara yang dijadikan nikmat buat mereka. Mereka berhak untuk merasai nikmat tersebut setelah bertahun-tahun membanting tulang membesarkan kami adik-beradik. Mereka bukanlah seperti kebanyakan ibubapa lain yang bekerja di bilik berpenghawa dingin, ikut waktu pejabat, berkereta ke tempat kerja, ada kad kredit dan sebagainya, tetapi mereka hanyalah seorang ibu dan ayah yang sangat-sangat biasa.


Allah itu Maha Mendengar permintaan hambaNya. Apa yang kupelajari daripada final exams tempoh hari ialah bersangka baik dengan Allah sepenuhnya. Allah akan memberi kita mengikut sangkaan kita. JIka kita bersangka buruk, maka buruklah yang kita dapat.Jika bersangka baik, baiklah yang kita dapat, mungkin cepat, mungkin lambat.


Semalam aku dan sahabat sepermainan sejak sekolah rendah bertemu semula. Di kalangan kami, tiada seorang pun yang sudah membina masjid,kata sahabatku, gang kamilah yang liat betul nak bertemu jodoh. Hanya tinggal seorang yang masih menuntut di universiti. Aku adalah penganggur kehormat buat masa ini dan yang lain-lain dah berstatus wanita berkerjaya. Kami dinner di Restoran Kapitan, pertama kali aku menjejakkan kaki di situ. Sambil tunggu ayam tandoori, ternampak pula si pengantin baru, pengarah filem Aziz M.Osman.Kecil saja orangnya, patutlah nampak muda dan diterima oleh gadis muda.


Baki dua hari lagi sebelum berangkat ke Cork. Semoga semuanya dipermudahkan Allah...

No comments:

Post a Comment